Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

KEMANA MUHYIDDIN PERGI SELEPAS INI ? ATAU APA PERANCANGANNYA ?

Pemimpin BN sifatkan penggantungan langkah terbaik
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR - Keputusan Majlis Tertinggi Umno yang menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno disifatkan sebagai langkah untuk memantapkan parti dalam meneruskan agenda membela rakyat dan memajukan negara.

Selain menyatakan keputusan itu sebagai wajar, kalangan pemimpin Umno berpendapat sebarang gangguan yang berlaku dalam parti pastinya memberi kesukaran kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di KOTA BHARU, Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata negara memerlukan kepimpinan dan perpaduan yang jitu dalam usaha meneruskan agenda membela rakyat serta memajukan negara.

"Kita hendak pastikan kepimpinan Datuk Seri Najib yang diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum lepas untuk mentadbir negara ini selama lima  tahun, kita nak pastikan perdana menteri mendapat sokongan padu supaya dapat meneruskan mandat tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan MT Umno semalam yang sebulat suara menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti berkuat kuasa serta-merta.  

"Ini satu tindakan yang diharap akan dapat memantapkan parti kerana kita memerlukan kepimpinan yang kuat untuk meneruskan agenda membela rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya selepas merasmikan pelancaran Himpunan Siswazah Kelantan Pra Universiti di sini.

Di MACHANG, Timbalan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyifatkan keputusan MT itu sebagai wajar disebabkan Muhyiddin sebelum ini banyak mengkritik presiden Umno secara terbuka dan tidak mengikut saluran yang ditetapkan parti.

Ahmad Jazlan berkata, presiden parti memerlukan seorang timbalan berwibawa yang sanggup membantunya bagi memperkuatkan perjuangan parti.

Di KUALA LUMPUR, Wanita Umno mempersoalkan ketidakhadiran Muhyiddin dalam mesyuarat MT Umno semalam, yang dilihat menjadi platform terbaik untuk memperjelaskan tindakannya yang melanggar peraturan dan semangat perjuangan Umno.

Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Muhyiddin telah dimaklumkan berkenaan mesyuarat MT berkenaan dan beliau (Muhyiddin) boleh memberi penjelasan berhubung tindakannya itu.

"Sebelum ini kita dengar banyak desas-desus bahawa Tan Sri Muhyiddin hadir majlis kempen anti-Najib dan beberapa majlis yang tak sepatutnya yang jelas melanggar peraturan semangat perjuangan Umno.

"Kenapa beliau tidak hadir mesyuarat MT semalam? Walhal sudah dimaklumkan. Di mesyuarat itulah Tan Sri Muhyiddin boleh beri penjelasan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di sini.

Di KANGAR, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata penggantungan jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno adalah wajar untuk memantapkan Umno selain bertepatan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Umno.

"Penggantungan Muhyiddin adalah wajar kerana MT juga berhak menyingkir beliau daripada parti. Saya fikir keputusan MT ini munasabah," kata Azlan selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,427 penerima di Dewan 2020 di sini.

Di ALOR SETAR, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata keputusan MT Umno terhadap Muhyiddin itu dilakukan berikutan kegagalan beliau menjalankan tugas membantu presiden Umno untuk memperkuat dan memperkasakan parti.

"Keputusan penyingkiran ini bukan atas alasan untuk menutup mulut beliau daripada bersuara," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian BR1M di sini.

Di PADANG TERAP, Ahli MT Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan tindakan penggantungan jawatan terhadap Muhyiddin sebagai perkara lumrah dalam politik.

Timbalan Pengerusi Umno Kedah itu berkata ini kerana dalam sesebuah organisasi atau pertubuhan khususnya politik, solidariti adalah kunci utama untuk berhadapan dengan pilihan raya umum.

"Kalau timbalan presiden tidak bersama dengan presiden parti, kenyataan bercanggah, jadi macam mana nak bekerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Lubuk Merbau di Padang Awam Felda Lubuk Merbau di sini.

Mahdzir berkata, tindakan menegur boleh dilakukan, namun biarlah melalui kaedah yang betul, misalnya melalui mesyuarat bersama.

Di RAWANG, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong percaya keputusan untuk menggantung jawatan Muhyiddin itu dibuat oleh kepimpinan Umno selepas membuat pertimbangan sewajarnya demi kepentingan parti.

"Saya berpendapat setiap parti ada caranya sendiri. Parti lain juga membuat keputusan dalaman untuk mengambil tindakan tertentu. Saya yakin keputusan ini dibuat demi kepentingan parti," katanya kepada pemberita pada rumah terbuka Tahun Baru Cina Gerakan Selangor di Serendah, dekat sini.

Ditanya sama ada isu itu boleh menjejaskan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka diadakan April ini, Mah menyuarakan keyakinan bahawa jentera pilihan raya BN akan menggunakan strategi yang sewajarnya bagi memastikan kemenangan.

Sementara itu di BESUT, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata keputusan MT Umno yang menggantung jawatan Muhyiddin itu bukanlah tindakan terburu-buru atau memusuhi sesiapa.

Sebaliknya, beliau berkata keputusan itu dibuat setelah melakukan perbincangan dengan mengambil kira pelbagai perkara demi kepentingan parti.   

Muhyiddin masih merupakan ahli Umno dan penggantungan jawatan itu dibuat atas kapasiti timbalan presiden apabila beliau tidak lagi dilihat bersedia membantu presiden parti, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan di Kuala Besut hari ini.

Ditanya sama ada keputusan penggantungan itu akan mengakibatkan perpecahan dalam parti, Shabery yang juga Ahli MT berkata: "Kita berharap tidak akan berlaku perpecahan."

Di BALIK PULAU, Ahli Parlimen Balik Pulau Dr Hilmi Yahya berkata rakyat kelak akan memahami keputusan MT Umno menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno.

Justeru itu, katanya setiap isu dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat MT tidak perlu dibincangkan secara terbuka.

"Apa saja yang dibincangkan dalam mesyuarat tidak patut dibawa dan dibincangkan di luar kerana perbuatan membincangkan sesuatu isu di luar adalah menyalahi etika anggota Umno," katanya.  - Bernama

1 orang berkata:

Anonymous said...

Adakah mempertahankan orang yang melakukan kesaahan seperti melakukan rasuah, penyelewengan dan bermacam macam lagi kesalahan boleh memberi kebaikan kepada negara ? Itulah mentaliti pemimpin UMNO yang sentiasa hendak memperbodohkan rakyat. Apa dia ingat semua rakyat memang BODOH macam DIA ke? Macam lembu kena cucuk hidung. Tak ingat ke ada balasan di hari akhirat kelak?

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.