Risalah Dakwah ( Siri 1 ) Jerebu : Musibah Mengingatkan Hari Kiamat
- Butiran
- Diterbitkan: 05 Oktober 2015
- Ditulis oleh Dewan Ulamak PAS Pusat
Lajnah Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Dewan Ulamak PAS Pusat
Risalah Dakwah ( Siri 1 )
Jerebu : Musibah Mengingatkan Hari Kiamat
Firman Allah s.w.t. dalam surah ad Dukhan ayat 10-13
Maksudnya,
"...Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat). Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: "Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan".
(Pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata): "Wahai
Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan
beriman!". Bagaimana mereka dapat beringat (menyempurnakan janji mereka
hendak beriman itu)? Pada hal mereka telah pun didatangi seorang Rasul
yang memberi keterangan-keterangan (yang cukup untuk mereka beriman)!.."
1. Surah Ad Dukhan adalah surah Makiyyah yang menceritakan akan salah satu daripada tanda Kiamat iaitu Asap.
2. Berdasarkan satu hadis Nabi s.a.w.,Maksudnya, "..Diriwayatkan oleh
Abi Thufail daripada Huzaifah bin Asyad Al Ghifari telah berkata telah
datang Nabi s.a.w kepada kami sedang kami saling berbicara antara satu
dengan yang lain. Baginda bersadba, apa yang sedang kamu bicarakan.?
Kami menjawab, tentang Hari Kiamat. Baginda bersabda, tiadalah berlaku
kiamat melainkan kamu melihat 10 tanda.
1. Asap
2. Dajjal
3. Dabbah
4. Terbit matahari di barat.
5. Turunnya Isa a.s.
6. Munculnya Yakjuj dan Makjuj.
7. Gerhana di timur
8. Gerhana di barat.
9. Gerhana di Semenanjung Arab.
10. Api marak di Yaman.."
2. Dajjal
3. Dabbah
4. Terbit matahari di barat.
5. Turunnya Isa a.s.
6. Munculnya Yakjuj dan Makjuj.
7. Gerhana di timur
8. Gerhana di barat.
9. Gerhana di Semenanjung Arab.
10. Api marak di Yaman.."
(Hadis Muslim)
3. Ayat di atas mengisahkan kejadian yang pernah berlaku ke atas
Musyrikin Mekah yang menolak risalah Nabi s.a.w. serta mengejek
perjuangannya dan Baginda s.a.w. berdoa kepada Allah agar membantunya
sepertimana bantuanNya kepada Nabi Yusuf a.s. yang ditimpakan kemarau ke
atas kaumnya. Akhirnya kaum Nabi Yusuf meminta pertolongannya.
Maka Allah pun memaqbulkan doa Baginda s.a.w. dengan ditimpakan
kemarau ke atas penduduk Musyrikin Mekah sehingga tiada apa untuk
dimakan melainkan mereka terpaksa memakan bangkai dan tulang belulang.
Kelaparan memuncak sehingga pandangan mereka seperti melihat keadaan sekeliling berasap. Ditambahkan lagi hujan tidak turun dan cuaca berhabuk dan berjerebu.
4. Ayat ini juga menggambarkan bagaimana Asap salah satu tanda kiamat
yang pasti berlaku pada akhir zaman sebagai kesudahan kehidupan di muka
bumi menandakan kehancuran alam semesta yang hanya kekal Allah s.w.t.
5. Jerebu yang melanda beberapa negara sejak akhir-akhir ini termasuk
Malaysia wajib menginsafkan kita betapa dekatnya kita dengan kisah Ad
Dukhan ini seperti dalam al Quran dan Hadis di atas. Sekalipun kita
tidak mampu mempastikan Ad Dukhan itu jerebu namun musibah ini janganlah
dipandang ringan.
6. Musibah jerebu yang melanda adalah ketentuan Allah s.w.t. untuk
mengingatkan kita akan dosa dan kesilapan serta dosa perbuatan
tangan-tangan kita yang mengundang kemurkaanNya.
7. Kesilapan dan kesalahan manusia sendiri yang menuntut manusia
untuk kembali dan bertaubat kepada Allah s.w.t. atas kealpaan dan
kezaliman samada terhadap diri sendiri, sesama manusia mahupun terhadap
Allah azzawajalla.
8. Manusia apabila berdepan dengan musibah dan kepayahan akan
mengingatkan mereka kepada tuhan. Sebagaimana firmanNya dalam surah al
Isra' 67,
"..Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang
lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari
Allah; .."
9. Adalah disarankan agar kita memperbanyakkan munajat dan zikir
mengingati Allah s.w.t. seperti dicatatkan dalam kitab al Azkar Imam
Nawawi.
Nabi s.a.w. bersabda kepada Ali r.a.,
".. apabila engkau ditimpa musibah, ucapkanlah ..Dengan nama Allah
yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang. Tiada daya upaya dan kekuatan
selain milik Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Maka sesungguhnya
Allah melenyapkan dengan doa itu musibah apapun yang dikehendakiNya..."
10. Adalah diseru dan disarankan kepada semua pihak untuk
bersama-sama menginsafi diri dengan kembali kepada Islam dalam segenap
segi tatacara kehidupan agar kita selamat dan diberikan kesejahteraan di
dunia dan akhirat.
Disediakan oleh :
Ustaz Muhammad Najhan Halim
AJK Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
0 orang berkata:
Post a Comment