Mahkamah benar gantung prosiding Anina
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan
Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantung kesemua prosiding saman
yang difailkan bekas anggota Umno Anina Saadudin berhubung pembayaran
berjumlah RM2.6 bilion.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu
dalam kamar dengan dihadiri peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang
mewakili Najib dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab. Rauf Yusoh serta
peguam Mohd Hanif Khatri Abdulla yang mewakili Anina.
Berikutan keputusan itu, Najib dan Ab. Rauf, yang turut dinamakan
sebagai defendan, tidak perlu memfailkan pernyataan pembelaan dan
sebarang afidavit lain.
Najib dan Ab Rauf sebelum ini memohon mahkamah menggantung prosiding
sehingga mahkamah mendengar permohonan mereka untuk mengetepikan writ
saman Anina.
Mahkamah menetapkan 6 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi permohonan mengetepikan saman itu.
Mohd Hafarizam memberitahu pemberita bahawa hakim membuat keputusan itu
berdasarkan alasan bahawa pemfailan afidavit pembelaan boleh memberi
kesan kepada permohonan defendan untuk mengetepikan writ saman dan
pernyataan tuntutan yang difailkan Anina.
"Hakim juga memutuskan bahawa tiada prejudis kepada plaintif sekiranya
pembelaan tidak difailkan sekarang kerana sekiranya mahkamah menolak
permohonan untuk mengetepikan writ saman dan pernyataan tuntutan, pihak
plaintif masih berpeluang melihat pembelaan yang difailkan defendan,"
katanya.
Pada 28 Ogos lepas, Anina memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan
antaranya bagi menuntut pembayaran RM2.6 bilion (US$650 juta) yang
didakwa dimasukkan oleh Najib ke dalam satu akaun bank bukan milik Umno
di Singapura. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment