Takiyuddin setuju sumpah menyimpan rahsia sebagai ahli PAC  dalam  siasatan IMDB seperti yang disyorkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Ahmad Zahid Hamidi berbanding dengan sikap DAP  dan Haji Hadi tidak setuju dengan perbuatan  pembangkang mengangkat Plakad " Mana RM 2.6 B" di Dewan Rakyat yang dianggapnya tidak beradab.

Kenyataan Hadi menyebut sedia bekerjasama dengan semua parti adalah perkara biasa tetapi yang istimewa dan luar biasa ialah " Termasuk Barisan Nasional."

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Khalid Samad  melihat ini sebagai bahaya kepada masa depan pembangkang pada pilihanraya akan datang dan segera mencabar Pas jelaskan pendirian samaada berada dengan pembangkang atau BN supaya rakyat senang membuat keputusan. Secara tidak  langsung beliau menganggap Pas bertalam dua muka.

Tetapi cabaran ini tidak dapat menutup hakikat bahawa Parti Amanah Negara sendiri mempunyai banyak muka yang akan mengelirukan rakyat. Ia ada muka DAP, muka PKR, muka Pas,muka Anwar Ibrahim dan bermuka-muka.

DAP juga tentunya sedang gementar dengan bayangan kerjasama Pas dengan BN  kerana kacamata cauvanis nya  nampak kerjasama ini sebagai Pas Umno yang akan memberi kesan buruk kepada  Pakatan Rakyat yang sedang  berada dalam keadaan terumbang ambing.

Bagi DAP  perkembangan ini adalah  kemunduran Malaysia dari politik Malaysian Malaysia yang sedang rancak maju kehadapan.

Presiden BN Datuk Seri Najib tentunya  merasa lega dengan perkembangan senario baru politik Malaysia ini tetapi beliau tidak boleh yakin sebagai positif bagi dirinya atau isterinya.

Untuk melegakan  harapan rakyat dan memastikan kemenangan cemerlang dan mempermudahkan kerjasama Umno, Pas atau BN,beliau terpaksa mengundur diri sebelum pilihanraya umum akan datang  kerana Pas sendiri tidak mahu pimpinan Umno  yang telah tercalar dan terbukti tidak licin,tidak cekap,menggugat ekonomi dan menghakiskan penghormatan terhadap negara.


DAP yang gementar dengan senario politik baru ini haruslah menerima hakikat bahawa ini  adalah harga yang sangat mahal  yang terpaksa dibayarnya  kerana permainan politik  perkaumannya yang agresif yang  tidak menghiraukan Perlembagaan Negara.

Dan pemimpin Umno pula  janganlah  cuba memberikan gambaran perkauman kepada arah tuju politik baru ini   kerana Umno sendiri bukanlah suatu parti perkauman seperti yang dimomokan oleh pembangkang.

Kalau Umno parti perkauman dan pelampau keagamaan masakan wujud kerjasama dengan MIC dan MCA untuk meletakan asas kemerdekaan yang telah memberikan keharmonian dan kemakmuran dan memajukan pendemokrasian negara secara evolusi sejak berpuluh tahun.

Bagaimanapun keharmonian ini telah diberikan gambaran salah  oleh anasir-ansir politik kosmopolitan Singapura yang diwakili oleh DAP.

InsyaALLAH akan berlaku perkembangan positif dalam politik Malaysia untuk pemulihan imejnya dan  InsyaALLAH Tun Mahathir akan dapat menyaksikan pengunduran Najib sebelum pilihanraya akan datang.

Umno ada stratijinya yang tersendiri bagi mengundurkan pemimpinnya secara terhormat. Sejarah telah membuktikannya.

*Tan Sri Zainuddin Maidin merupakan Bekas Menteri Penerangan