Kes buli: Pelajar terima lapan jahitan dibelasah senior
BANGI - Seorang pelajar tingkatan dua terpaksa menerima lapan jahitan
di bibir akibat dibelasah bertubi-tubi dengan kasut oleh tiga pelajar
senior, di hostel sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur, awal
pagi Sabtu lalu.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas mangsa yang baru memasuki sekolah
tersebut awal tahun lalu dikatakan menasihati secara baik pembuli supaya
menghentikan perbuatan tersebut kepada rakan di sekolahnya.
Kejadian hanya diketahui ibu mangsa apabila pihak hospital
menghubunginya, bagi mendapatkan kebenaran dan tandatangan menjalankan
pembedahan yang didakwa doktor berkemungkinan berisiko mengalami
kecacatan kekal.
Bapa mangsa yang enggan identitinya diketahui umum berkata, kejadian
dipercayai berlaku pada jam 12.20 pagi ketika kesemua pelajar lena tidur
di asrama masing-masing.
Tiga pelajar senior berusia 16 tahun terbabit katanya, menyerbu asrama
tempatnya anaknya tidur dan mengejutkan mangsa bangun sebelum dibawa
satu lokasi berhampiran.
Di situ, anaknya dipaksa diam sebelum dipukul, ditendang dan ditumbuk bertubi-tubi termasuk menggunakan kasut.
Mangsa kemudian disuruh pulang ke asrama dan diugut tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa jika tidak mahu dipukul lagi.
Pensyarah di sebuah universiti tempatan itu berkata, kejadian hanya
diadukan anaknya kepada warden selepas anak bongsu daripada dua beradik
itu mengalami pendarahan teruk dan tidak dapat menahan kesakitan.
“Yang saya kesal sekolah langsung tak hubungi masa kejadian, saya hanya
tahu bila isteri terima panggilan daripada pegawai perubatan minta kami
datang ke hospital tandatangan surat kebenaran pembedahan kerana anak
cedera dan lukanya perlu dijahit.
Bapa mangsa berkata, pihak sekolah hanya menghubunginya kira-kira jam 5
petang dan yang dihairankan pihak itu pula bertanya kepadanya apa yang
berlaku.
Pihak sekolah kemudian memberitahu anaknya mengalami kecederaan kerana
terjatuh dari tangga dan terpaksa mendapat rawatan di Unit Kecemasan
Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Beliau kesal kejadian buli yang berlaku di asrama penuh Sekolah
Berprestasi Tinggi (SBT) menyebabkan anaknya masih trauma sehingga kini.
“Anak saya sebelum ini pernah beberapa kali cuba dibuli namun
menyatakan tidak mahu berkompromi dengan jenayah tersebut,” katanya
laporan di Balai Polis Salak Selatan.
Kejadian dakwanya dikatakan bukan pertama kali, beberapa pelajar lain
termasuk pelajar perempuan pernah turut dibuli namun takut untuk
mengadukan perkara itu kepada pihak sekolah kerana diugut.
1 orang berkata:
sungguh kisah yang memilukan, di jaman yang sudah semodern ini, masih saja ada yang berpikiran seperti binatang :(
Post a Comment