Ugut PM: Polis Perak siasat Rafizi
KUALA KANGSAR - Polis Perak membuka kertas siasatan terhadap Setiausaha
Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli berhubung kenyataannya
yang berunsur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, kertas
siasatan itu dibuka mengikut Sekyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut. "Kami akan memanggil Rafizi untuk mengambil keterangannya dalam tempoh terdekat.
"Walaupun dia kata bergurau, tetapi ini adalah satu ugutan," katanya
kepada pemberita selepas meninjau perjalanan pengundian awal Pilihan
Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Tun Salleh Ismael,
Kompleks Perumahan Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, di sini hari ini.
Menurut laporan media sosial, Rafizi dalam satu ceramahnya di Kuala
Kangsar pada Khamis lalu dipetik berkata 'mahu membaling bom atom'
kepada perdana menteri.
Empat laporan polis turut dibuat beberapa penduduk Kuala Kangsar berhubung kenyataan Rafizi itu.
Mengenai perjalanan PRK itu, Abdul Rahim berkata pihaknya menerima 16
laporan berhubung salah laku pilihan raya dan membuka enam kertas
siasatan pada PRK Kuala Kangsar sejak hari penamaan calon 5 Jun hingga
semalam.
"Kami akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin dan akan
merujuk kepada Pengarah Perundangan Negeri untuk tindakan lanjut,"
katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahim menasihatkan jentera parti yang bertanding
supaya menjaga perlakuan masing-masing dan elakkan perkara yang boleh
mencetuskan provokasi termasuk mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni.
"Bagaimanapun, pilihan raya kecil ini adalah yang terbaik pernah saya
lalui kerana tidak berlaku insiden yang besar sehingga mengganggu-gugat
keselamatan dan ketenteraman awam di sini," katanya.
PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan
Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter
di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara
calon Barisan Nasional Datin Mastura Mohd Yazid, Dr Najihatussalehah
Ahmad (Pas), Prof Dr Ahmad Termizi (Parti Amanah Negara) dan calon
Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Pengundian PRK itu berlangsung 18 Jun ini. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment