SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan taring bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tercabut selepas kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Sabtu lalu.

Beliau turut menyarankan Mahahir memperbanyakkan masa berada di tikar sejadah dan hadapan Kaabah.

“Saya sarankan Tun banyakkan berada di tikar sejadah dan di hadapan Kaabah. Zaman kekuatannya ketika bertempur dengan Almarhum ayahanda (Tuan Guru Nik Aziz) telah berakhir.

“Jika Tun kembali kepada ALLAH dengan taubat yang benar, itulah sebaik-baik kehidupan di hujung hayat. Saya mendoakan,” katanya menerusi Facebooknya, semalam.

Nik Mohd Abduh berkata, tuduhan yang mengaitkan Pas sebagai tunggangan Umno hanyalah persepsi murahan golongan lemah yang terpelanting akibat disantau mabuk ‘Road To Putrajaya’.

“Ketika Pas bersama DAP, Pas dituduh Umno sebagai tunggangan DAP. Ketika Pas berpecah dengan DAP, Pas dituduh sebagai tunggangan Umno.

Sebagaimana Pas berjaya keluar dari tuduhan pertama, Pas pastinya akan berjaya keluar dari tuduhan kedua dengan selamat dan sejahtera.

"Malah, tuduhan itu akan lebih mudah dihilangkan kerana Pas tidak pun mengikat sebarang perjanjian dengan Umno sebagaimana ikatannya dengan DAP semasa dalam PR dahulu,” katanya.

Sementara itu, mengulas keputusan PRK kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Nik Mohd Abduh menjelaskan, ini adalah laporan awal kekuatan Pas selepas berjaya melepasi krisis dalaman yang menyaksikan terkeluarnya anasir lemah dan buruk yang berusaha mengubah hala tuju perjuangan Pas.

"Setelah Pas mengukuh kembali dalam tempoh setahun dengan barisan kepimpinan baharu yang begitu bersatu menerajui parti, PRK kali ini adalah peluang terbaik untuk Pas melihat tahap sokongan dan kekuatan di bawah.

“Ia adalah sokongan yang benar dan paling tepat terhadap Pas setelah ia bersendiri bersama Ikatan dalam blok ketiganya yang baru,” katanya.

Nik Mohd Abduh berkata, PRK kali ini menyaksikan Pas menguasai sekitar 25 peratus sokongan rakyat.

“Adakah 25 peratus sokongan bersih di kubu Umno untuk Pas itu kecil?

Tidak. Itulah kekuatan tegar sokongan terhadap perjuangan Islam yang syumul di Malaysia.
“Saya dan seluruh pemuda Pas bertekad melebarkan kesatuan dan muafakat umat ke arah cara hidup Islam yang benar. Kebatilan pastikan lebur.

Itulah janji pemuda Islam untuk ayah dan ibu yang pergi meninggalkan kita dengan warisan perjuangan yang mulia,” katanya.