KUALA TERENGGANU – Pemimpin Pas negeri memberi reaksi
sinis terhadap kesediaan Parti Amanah yang tidak menolak
kemungkinan untuk bertanding tiga penjuru dalam pilihan raya
umum akan datang.

Pesuruhjaya Pas negeri, Satiful Bahri Mamat ketika bercakap
 kepada Sinar Harian di sini secara berterus-terang
‘mempersilakan’ parti itu berbuat demikian.

Dalam reaksinya itu, Satiful Bahri seolah-olah menunjukkan
 pihaknya tiada sebarang halangan dan mengalu-alukan Amanah
 berbuat demikian jika itu dilihat satu-satunya cara untuk
menjatuhkan Umno dan BN, sebagaimana diperkatakan di awal
penubuhan Parti Amanah.

“Kalau itu cara untuk jatuhkan Umno dan BN, silakanlah,”
katanya sebagai mengulas kenyataan Presiden Amanah,
Mohamad Sabu yang sedia bertanding tiga penjuru menentang
 BN dan Pas dalam pilihan raya umum akan datang jika
terpaksa.

Memetik laman portal, Mohamad yang lebih dikenali sebagai
Mat Sabu berkata, Amanah akan memberikan peluang kepada
Pas sepenuhnya berunding bagi memastikan pembangkang
hanya akan bertanding satu lawan satu dalam pilihan raya
 tersebut.

Pada masa sama, Satiful yang juga Adun Paka turut menyelar
sikap Amanah yang berhasrat bertanding tiga penjuru kerana
realitinya, tindakan parti itu tidak akan berjaya melemahkan Umno
dan BN.

Jelasnya, ia sudah bertentangan dengan matlamat dilaungkan
Amanah sebelum ini untuk bersama-sama Pakatan Harapan
menumbangkan BN pada PRU14.

Beliau sebaliknya menjelaskan bahawa perkembangan itu
sebenarnya hanya memberi keuntungan kepada parti pemerintah
dan memanjangkan ‘talian hayat’ BN.

“Kalau untuk mematikan Pas, ya! Kalau tindakan itu untuk
menumbangkan Umno dan BN, saya tidak nampak,” katanya.

Sementara itu, beliau tetap menegaskan bahawa Pas tidak
 akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan sebagaimana
 keputusan Pas Pusat dan hanya mengekalkan kerjasama
dengan PKR.

Walau apa pun alasan diberi pihak lain supaya Pas bekerjasama
 dengan Pakatan Harapan, beliau menegaskan semua pihak supaya
 faham pendirian Pas dan tidak perlu memaksa parti itu kerana Pas
 adalah parti yang berprinsip
.