SUNGAI BESAR - Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini berjanji tidak akan lagi memasang papan iklan bersifat provokatif serta mengaku bahawa kelemahan penyelarasan antara sekutu politiknya menyebabkan timbulnya isu berkenaan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, berkata, parti itu dan sekutunya - DAP dan PKR - kini sepakat untuk memberi fokus terhadap kempen secara positif.

"Saya mengadakan perjumpaan dengan Tony (Pua) pagi ini dan kami bersetuju bahawa papan iklan seperti itu tidak akan dipasang lagi kerana ia boleh dilihat sebagai suatu bentuk provokasi.

"Kami akui kami ada masalah dari segi penyelarasan," katanya pada sidang media di Sekinchan, dekat sini, hari ini.

Khalid berkata demikian bagi mengulas pengakuan DAP bahawa parti itu mendalangi kempen kotor yang menggunakan papan iklan mengandungi unsur perkauman dan provokatif di sebuah bulatan di bandar Sekinchan.

Iklan gergasi anti-Barisan Nasional (BN) dan anti-Pas itu mengandungi gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul‎ Hadi Awang serta gambar Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunus, yang menggunakan kapsyen berbentuk provokatif.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon BN, Budiman Mohd Zohdi iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman daripada Pas dan Azhar Abdul Shukur, yang mewakili Pakatan Harapan.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Tan Sri Noriah Kasnon, dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.- Bernama