SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui parti Islam itu kini giat mendekati Umno untuk meyakinkan bahawa dua parti Melayu Islam itu boleh bersatu kerana dasar kepentingan Islam, khususnya menerusi Rang Undang-Undang Persendirian Akta 355.

Beliau berkata, penyatuan Umno dan Pas hanyalah satu kepalsuan dan tidak boleh kekal lama, melainkan jika kesatuan itu berlandaskan kepada kefahaman dan nama agama.

“Pas cuba faham elok-elok Umno, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), kalau mereka tumpu di atas jalan ini (agama), akan sampai satu masa kita boleh bersatu. Kita buat perbincangan, kita akui kita dekati Umno, untuk fahamkan mereka, bukan hanya rakyat, bahawa ada benda yang kita bertengkar (khususnya) soal politik dan nak tukar pemimpin.

“Ada benda kita kena kongsi bersama, iaitu agama. Setakat mana Umno faham agama yang boleh kita yakinkan mereka, kalau mereka terima alhamdulillah, itu baik,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian pada satu pertemuan.

Beliau berkata, Pas bukan sahaja berniat malah berazam untuk bersatu dengan Umno kerana matlamat penubuhan parti Islam itu adalah untuk menyatukan umat di atas jalan yang betul termasuk penyatuan parti politik.

“Memang Pas ditubuhkan untuk menyatukan ummah, bukan hanya niat, dia niat, azam, ada belaka. Jadi tiada sebab kita nak berpisah dengan PKR, nak balas dendam dengan DAP.

“Islam suruh menyatukan umat manusia, bukan umat Islam saja, tapi saat ini kita berpecah. Suatu hari nanti, kita tak tahu. Itu kita usahakan sebab memang manusia ini memang tidak akan maju kalau tak bersatu,” ujarnya.

Bersatu bukan atas landasan politik Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut berkata, penyatuan Umno dan Pas bukan berlandaskan politik, tetapi ia lebih kepada memperkasakan Islam sebagai agama persekutuan di negara ini.
 
“Ia arahan agama termasuk RUU Persendirian Akta Mahkamah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016,” jelasnya.

Beliau menyifatkan perbalahan Pas dengan PKR dan Pakatan Harapan kerana pertembungan tiga penjuru pada PRK kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai isu sesama dan ia tidak kekal lama.

“Dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita pernah bersatu masa dia bersama Abim. Bila dia masuk Umno kita berbalah.

“Lepas itu dia masuk balik, kita bersatu. Hari ini kita bising pula, tak tahu nak bersatu atau tidak. Kita cuba usaha, kalau dapat kita bersatu, alhamdulillah. Tapi kalau kita tumpu matlamat asal, Insya-ALLAH kita boleh kembali,” ulasnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan ahli-ahli Pas yang menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) akan kembali kepada parti Islam itu selepas kemarahan mereka itu reda dan tenang semula.

“Kita harap masa ini menyejukkan mereka, tenang balik, mereka boleh kembali. Ramai ahli Pas hari ini aktif, ada jawatan besar, dulunya mereka keluar Pas. Tapi bila sejuk, mereka datang balik dan istiqamah.

“Macam Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali keluar, sekali masuk balik Umno,” katanya.