Pas akui giat mendekati Umno
SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui
parti Islam itu kini giat mendekati Umno untuk meyakinkan bahawa dua
parti Melayu Islam itu boleh bersatu kerana dasar kepentingan Islam,
khususnya menerusi Rang Undang-Undang Persendirian Akta 355.
Beliau berkata, penyatuan Umno dan Pas hanyalah satu kepalsuan dan
tidak boleh kekal lama, melainkan jika kesatuan itu berlandaskan kepada
kefahaman dan nama agama.
“Pas cuba faham elok-elok Umno, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), kalau
mereka tumpu di atas jalan ini (agama), akan sampai satu masa kita boleh
bersatu. Kita buat perbincangan, kita akui kita dekati Umno, untuk
fahamkan mereka, bukan hanya rakyat, bahawa ada benda yang kita
bertengkar (khususnya) soal politik dan nak tukar pemimpin.
“Ada benda kita kena kongsi bersama, iaitu agama. Setakat mana Umno
faham agama yang boleh kita yakinkan mereka, kalau mereka terima
alhamdulillah, itu baik,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian pada
satu pertemuan.
Beliau berkata, Pas bukan sahaja berniat malah berazam untuk bersatu
dengan Umno kerana matlamat penubuhan parti Islam itu adalah untuk
menyatukan umat di atas jalan yang betul termasuk penyatuan parti
politik.
“Memang Pas ditubuhkan untuk menyatukan ummah, bukan hanya niat, dia
niat, azam, ada belaka. Jadi tiada sebab kita nak berpisah dengan PKR,
nak balas dendam dengan DAP.
“Islam suruh menyatukan umat manusia, bukan umat Islam saja, tapi saat
ini kita berpecah. Suatu hari nanti, kita tak tahu. Itu kita usahakan
sebab memang manusia ini memang tidak akan maju kalau tak bersatu,”
ujarnya.
Bersatu bukan atas landasan politik Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut berkata, penyatuan Umno dan Pas bukan
berlandaskan politik, tetapi ia lebih kepada memperkasakan Islam
sebagai agama persekutuan di negara ini.
“Ia arahan agama termasuk RUU Persendirian Akta Mahkamah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016,” jelasnya.
Beliau menyifatkan perbalahan Pas dengan PKR dan Pakatan Harapan kerana
pertembungan tiga penjuru pada PRK kerusi Parlimen Sungai Besar dan
Kuala Kangsar sebagai isu sesama dan ia tidak kekal lama.
“Dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita pernah bersatu masa dia bersama Abim. Bila dia masuk Umno kita berbalah.
“Lepas itu dia masuk balik, kita bersatu. Hari ini kita bising pula,
tak tahu nak bersatu atau tidak. Kita cuba usaha, kalau dapat kita
bersatu, alhamdulillah. Tapi kalau kita tumpu matlamat asal, Insya-ALLAH
kita boleh kembali,” ulasnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan ahli-ahli Pas yang menyertai Parti
Amanah Negara (Amanah) akan kembali kepada parti Islam itu selepas
kemarahan mereka itu reda dan tenang semula.
“Kita harap masa ini menyejukkan mereka, tenang balik, mereka boleh
kembali. Ramai ahli Pas hari ini aktif, ada jawatan besar, dulunya
mereka keluar Pas. Tapi bila sejuk, mereka datang balik dan istiqamah.
“Macam Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali keluar, sekali masuk balik Umno,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment