KUALA KANGSAR - Kenyataan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengaitkan kematian dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam nahas helikopter di Sarawak 5 Mei lepas sebagai balasan ALLAH, disifatkan amat biadab.   

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim merangkap Ahli‎ Parlimen Kuala Selangor berkata, Mohammad Nizar dilihat seakan hilang rasional dalam berkempen bagi pilihan raya kecil (RPK) Parlimen Kuala Kangsar semasa umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

"Kenyataan Mohammad Nizar Jamaluddin dalam ceramahnya di Kampung Sayong Lembah (Kuala Kangsar) disifatkan sebagai biadab dan perlu memohon maaf secara terbuka di mana kenyataannya yang mengaitkan kematian dua Ahli Parlimen BN adalah sebagai balasan ALLAH terhadap kerajaan persekutuan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, tindakan Mohammad Nizar itu juga tidak memikir tentang perasaan keluarga Ahli Parlimen BN yang terkorban.    

PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar, Selangor akan diadakan serentak pada 18 Jun ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon.

"Nizar tidak perlu menghamburkan kata-kata sebegitu, biarpun ketika ini parti-parti bertanding sedang hangat berkempen, janganlah sampai ke tahap menghina dan memfitnah," kata Irmohizam.

PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, Pas, Amanah dan Bebas, manakala PRK Sungai Besar, tiga penjuru antara BN, Pas dan Amanah. - Bernama