KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menolak permohonan beliau untuk membatalkan pelantikan dua anggota suruhanjaya berkenaan, dengan menegaskan bahawa keputusan itu adalah betul.

RCI diwujudkan untuk menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada 1990-an.

Hakim Datin Azizah Nawawi membuat keputusan itu di dalam kamar selepas membenarkan bantahan oleh kerajaan terhadap permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan itu.

Dalam jawapan bertulis beliau yang diperoleh media, Hakim Azizah berkata RCI tidak mempunyai bidang kuasa atau kuasa berhubung pelantikan dan/atau pengguguran anggotanya.

Beliau berkata RCI bertindak betul apabila tidak menyetujui permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan pelantikan Pengerusi, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan seorang daripada anggota suruhanjaya siasatan itu, Tan Sri Saw Choo Boon.

Hakim berkata mengikut Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), kuasa berhubung pelantikan pesuruhjaya terletak pada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan mengikut Seksyen 4 akta berkenaan, YDPA boleh melantik anggota baharu untuk menggantikan mana-mana anggota yang meletak jawatan, meninggal dunia atau berhasrat menarik diri.

“Setelah mempertimbangkan permohonan dan penghujahan kedua-dua pihak, saya berpendapat bahawa permohonan ini tidak memenuhi keperluan awal. Permohonan ini ditolak dengan tiada perintah berkaitan kos,” katanya.

Dr Mahathir memfailkan permohonan pada  9 Ogos lepas untuk membatalkan keputusan RCI, yang dibuat pada 8 Ogos, untuk membatalkan pelantikan Mohd Sidek dan Saw sebagai anggota suruhanjaya itu.

Beliau menamakan anggota suruhanjaya itu iaitu Mohd Sidek, yang juga pengerusi Petronas; Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan; Saw, yang juga  pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Bagi Memudahkan Perniagaan (Pemudah), ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Puspanathan, Setiausaha RCI Datuk Dr Yusof Ismail dan kerajaan Malaysia, sebagai responden.

Dalam permohonannya, Dr Mahathir turut memohon perintah mandamus bagi kerajaan atau jemaah menteri, untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan pelantikan Mohd Sidek dan Saw sebagai anggota suruhanjaya itu.

Dr Mahathir memfailkan permohonan itu atas alasan bahawa suruhanjaya siasatan berkenaan telah melanggari keadilan asasi oleh kerana Mohd Sidek dan Saw juga adalah anggota sebuah pasukan petugas bertanggungjawab bagi siasatan yang mengemukakan syor untuk menasihati jemaah menteri supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Dr Mahathir, berkata mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh dan Suzana Atan hadir bagi pihak responden. - Bernama