SUNGAI BESAR - Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok mempersoalkan kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengatakan bahawa parti Islam itu cuba untuk memahami Umno.

Menurut Teresa, sekiranya Pas ingin mendekati Umno, parti berkenaan tidak sewajarnya turut meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

"Biarlah Umno bertanding dan lawan dengan Parti Amanah Negara (Amanah) sahaja.

"Saya kurang faham apakah pendirian Pas sebenarnya,"katanya ketika Ceramah Umum Pembongkaran Skandal yang diadakan di Dataran Tonggak 10 malam tadi.

Teresa berkata demikian bagi mengulas kenyataan Nik Abduh dalam Sinar Harian yang mengakui parti Islam itu kini giat mendekati Umno untuk meyakinkan bahawa dua parti Melayu Islam itu boleh bersatu kerana dasar kepentingan Islam, khususnya menerusi Rang Undang-Undang Persendirian Akta 355.

Dalam perkembangan lain, Teresa turut memaklumkan bahawa beliau turut memahami ada dikalangan rakan-rakan Pakatan Harapan yang mempunyai isu berhubung kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.

"Namun saya rasa bagi Tun Mahathir, sebab utama beliau sokong calon Amanah adalah kerana dia memberi sokongan kepada Deklarasi Rakyat.

"Saya rasa semua pihak dari mana-mana parti perlu bersatu padu untuk selamatkan Malaysia,"katanya.