SUNGAI BESAR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap tindakan parti politik yang bertindak menaikkan papan iklan yang didakwa berbaur perkauman dan fitnah di Sekinchan, semalam.

Ahmad Zahid berkata, polis telah menjalankan tindakan pemantauan yang menyeluruh bagi mengelakkan perkara sama daripada berulang.

"Kita harap dalam waktu terdekat ini hingga 18 Jun (hari pengundian) perkara sama tidak kembali berulang," katanya pada Sidang Media selepas lawatannya ke Martek PDRM," di sini hari ini.

Semalam, terdapat beberapa papan iklan di Sekinchan dinaikkan pihak tidak bertanggungjawab dengan menyerang parti politik tertentu dan pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Antara papan iklan itu termasuklah perkataan ‘BN Pas sehati sejiwa, rasis rasuah sama sekali’ dengan memaparkan gambar Najib bersama-sama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan  Raya 1954, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pihak sebelum, semasa dan selepas Pilihan Raya antaranya apabila melakukan apa-apa perbuatan atau penyataan dengan tujuan mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau  permusuhan.

Sekiranya didapati bersalah boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau didenda a lebih RM10, 000 atau kedua-duanya.