SHAH ALAM - Pas didakwa tidak mahu menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar sebaliknya hanya mahu mendapat undi lebih besar daripada Parti Amanah Negara (Amanah), dakwa Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kaiat.

Menurut Suhaizan, kenyataannya itu dibuktikan menerusi jumlah undi yang disasarkan Pas di PRK Kuala Kangsar di mana ia lebih kecil daripada jumlah undi sebenar.

Suhaizan dalam kenyataan yang sama turut mendakwa Pas mahu memberi kemenangan Kuala Kangsar kepada BN.

“Jumlah undi sasaran Pas di PRK Kuala Kangsar adalah 8,713 sahaja sedangkan undi yang diperolehinya dalam Pilihan Raya Umu 13 adalah 13,136.

“Maklumat ini diperolehi daripada Laporan Persiapan Dan Gerakerja Pas PRK P067 Kuala Kangsar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.