SUNGAI BESAR - "Bukannya Superman atau Batman, tapi Budiman yang akan datang membantu menyelesaikan masalah anda."

Itu janji Budiman Mohd Zohdi, calon Barisan Nasional (BN) kepada pengundi-pengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Sungai Besar.

Jika mengikut bacaan politik, peluang BN dilihat cerah di Sungai Besar, namun andaian itu bukan signal untuk BN 'beraya' awal kerana parti itu dikatakan perlu berhati-hati dengan elemen perubahan undi yang mungkin berlaku saat akhir.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata pesonaliti dan kredibiliti Budiman yang mesra masyarakat dan mudah didekati mampu menjadi faktor penentu kepada kejayaan BN pada pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata penduduk kawasan Parlimen Sungai Besar yang meliputi kawasan luar bandar mementingkan wakil rakyat yang boleh memperjuangkan isu-isu tempatan dan kebajikan mereka.
"Apa yang pengundi Sungai Besar mahu ialah wakil rakyat yang mudah didekati dan mampu membawa suara mereka ke peringkat persekutuan," katanya kepada Bernama di sini.

Malah katanya isu-isu yang dibangkitkan Pas dan Amanah sejak bermulanya kempen PRK itu pada 5 Jun lepas tidak begitu memberi impak terhadap masyarakat luar bandar.

"Isu-isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) merupakan isu yang sudah lama berlalu, kesannya pada pengundi tidak begitu besar,"  katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata BN perlu memberi perhatian kepada faktor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang boleh membawa perubahan undi pada saat-saat akhir.

Katanya menteri besar Selangor itu yang tidak menonjolkan diri pada separuh masa pertama kempen, boleh datang bersama jentera kerajaan negeri, dalam memberikan harapan dan janji-janji kepada pengundi.   

"Namun, ini juga bergantung kepada kesediaan Azmin untuk mengorbankan kestabilan kerajaan negeri Selangor ketika ini yang turut dianggotai Pas dengan membantu Amanah bagi mencapai matlamat jangka pendek," katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, pula berpendapat kehadiran Mohamed Azmin walaupun boleh mempengaruhi undi, namun dilihat agak minimu, kerana Timbalan Presiden PKR itu tidak menyertai kempen sejak peringkat awal.

"Sedikit sebanyak kehadiran beliau (Mohamed Azmin) mempengaruhi pola pengundian tetapi impaknya tidak sehebat seperti Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang berada sejak awal kempen di Kuala Kangsar," katanya.

Justeru, katanya, BN perlu mengambil peluang berkenaan dengan memanfaatkan hari-hari terakhir kempen dalam memastikan penyokong setia BN dan pengundi yang berada di luar Sungai Besar keluar mengundi pada 18 Jun ini.

"Saya lihat di Sekinchan juga banyak pertubuhan-pertubuhan Cina dan BN perlu mendekati mereka dalam mendapatkan sokongan kaum Tionghua," katanya.   

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon yang merupakan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas. – Bernama