SUNGAI BESAR - Maruah Pas sebagai sebuah parti yang membentuk Kerajaan Selangor sejak 2008 ‘tercalar’ berikutan sokongan Menteri Besar  Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap calon Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Ab Shukur.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sokongan terbuka itu merupakan satu cabaran kepada Pas bagi mengembalikan semula maruahnya sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri.

“Saya tak tahu di mana maruah pemimpin dan penyokong Pas, sedangkan parti itu yang memberikan kedudukan (Mohamed Azmin) sebagai menteri besar.

“Saya rasa kita pun terkejut sebab menteri besar buat pengishtiharan menyokong calon dari Amanah” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Industri Asas Tani dan Jalinan Tani Sungai Besar di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar, hari ini.

Sebelum ini, Mohamed Azmin menyatakan secara jelas menyokong calon Amanah sebagai calon Pakatan Harapan pada PRK kawasan Parlimen Sungai Besar Sabtu ini dan turut mendoakan Abdul Rani tidak bersedih.

Ditanya tentang sokongan pengundi kepada BN terutama tinggal beberapa hari saja lagi sebelum pengundian Sabtu ini, Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, yakin BN mampu memperoleh kemenangan yang lebih besar berbanding pada PRU13 lalu.     
  
“Berdasarkan kepada penyelesaian pelbagai isu dan sambutan yang diberikan rakyat, kita mampu tarik lebih ramai pengundi untuk menyokong BN.

“Kita dapat lihat kepimpinan kerajaan Persekutuan termasuklah kehadiran menteri, timbalannya dan wakil rakyat dari tempat lain begitu aktif berbanding pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Selangor dan parti pembangkang,” katanya.