ALOR SETAR - Pas Kedah mengambil keputusan untuk meletakkan calon

 di semua kerusi yang ditandingi pada pilihan raya lalu bertanding pada
 PRU14

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, 
pendirian itu dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor hasil 
perbincangan bersama pucuk kepimpinan parti.

“Setakat ini kita ambil keputusan, di mana Pas bertanding pada PRU13
, akan bertanding lagi pada PRU14 nanti.
“Jika ada sebarang penambahan (kerusi), ia akan diumumkan oleh 
peringkat pusat,” katanya pada sidang media di Kompleks Pas 
Kedah, di sini, semalam.

Pada PRU13, Pas bertanding di 8 kawasan Parlimen dan 24 Dun.

Menurutnya, parti itu juga kekal dengan pendirian iaitu hanya akan 
berlawan dengan BN dalam mana-mana pilihan raya.

“Kalau ada pihak ketiga yang bertanding, merekalah yang 
memecahkan undi di kawasan itu,” katanya.

Tambahnya, Pas Kedah sentiasa mengatur aktiviti politik secara 
berterusan sehingga menjelang PRU14 nanti.
“Aktiviti kita dipelbagaikan dalam bentuk kebajikan, perpaduan kaum
 dan memperjuangkan hak rakyat.

“Kita tidak letak dengan hanya menganjurkan program besar baru 
nak mula. Kita dah lama mula, cuma pelbagaikan lagi aktiviti,” 
katanya.

Mengulas lanjut mengenai hubungan Pas dan PKR, beliau mengakui
 ia masih berjalan lancar seperti biasa.
“Kita masih menunggu kenyataan daripada PKR sama ada nak beri 
komitmen kepada Pas Kedah dan serius dengan hubungan ini.

“Jika ada kenyataan yang jelas daripada PKR, ia lebih mudah untuk
 kita bergerak bersama seperti biasa,” katanya.

Mengulas mengenai kemelut berpanjangan parti pemerintah sehingga
 mengakibatkan pertukaran menteri besar, Ahmad Fakhruddin berkata,
 walaupun ia 'selesai' bebanan dihadapi rakyat negeri itu masih belum
 berakhir.

“Penderitaan rakyat ekoran tekanan ekonomi semakin parah dan menyeluruh.
 Para penoreh getah pula tertekan dengan kejatuhan harga komoditi yang 
sangat teruk dan pesawah mengalami kemerosotan pendapatan akibat 
pemotongan tinggi kesan dari pemutuan sebenar yang dilaksanakan kerajaan.

“Kedua-duanya merupakan kelompok terbesar rakyat Kedah. Bebanan 
kenaikan harga barang, khususnya barang keperluan harian sudah tidak
 terbendung,” katanya.

Menurutnya, parti pemerintah iaitu BN hendaklah menunaikan segala
 akujanji yang dibuat kepada rakyat semasa PRU13 lalu.

“Slogan ‘BN menang rakyat senang’ mesti diterjemahkan dalam realiti,
 bukan slogan kosong semata-mata.  Sekaranglah masanya untuk 
membuktikan apa yang dijanjikan.

“Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan yang berbelit-belit dari kerajaan
 berhubung tekanan kos hidup yang melanda rakyat. Rakyat mahukan 
penyelesaian segera dari kerajaan,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, lebih mendukacitakan apabila rakyat sedang 
berhadapan tekanan ekonomi, para pemimpin politik Umno Kedah pula 
sibuk bercakaran.

Jelasnya, di peringkat nasional pula rakyat ditakutkan dengan pengumuman
 kerajaan yang mahu membawa masuk seramai 1.5 juta pendatang asing 
dari Bangladesh.

“Pelbagai masalah sosial timbul ekoran kedatangan pendatang asing dari 
pelbagai negara, kini kerajaan mahu menambahkan beban.

“Selepas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dilaksanakan di 
negara ini mulai 2018, maka isu pendatang asing dan TPP akan menjadi
 serampang dua mata iaitu mempercepatkan penjajahan global terhadap 
Malaysia,” katanya.

Tegasnya, kesemua isu yang berlaku adalah disebabkan oleh 
‘kebendulan’ kerajaan BN dalam menguruskan negara.

“Rakyat tidak boleh melihat dengan mata putih segala kebejatan yang
 berlaku, sedangkan impak buruk terpaksa ditanggung oleh rakyat.

“Rakuat harus menghentikan episod duka yang dipaksakan ke atas
 mereka serta membebaskan diri dari menjadi abdi tunggangan BN 
sepanjang zaman,” katanya.

Ahmad Fakhruddin turut mengajak semua rakyat menggerakkan 
kesedaran bagi ‘merehatkan’ BN dari persada kuasa akibat kegagalan
 mereka mentadbir.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Muhammad 
Sanusi Md Noor menjelaskan bahawa parti itu menghantar jemputan
 kepada wakil PKR untuk turut serta dalam karnival ‘Jom bersama Pas
’ sempena ulangtahun ke-65 Pas Malaysia pada 17 hingga 19 Mac nanti.

Menurutnya, surat jemputan itu telah dihantar kepada Timbalan 
Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden
 PKR, Tian Chua pada awal Februari lalu.

“Kita jemput mereka untuk sama-sama hadir memeriahkan program
 tersebut, namun setakat ini kita masih belum menerima pengesahan
 kehadiran mereka,” katanya.