ATM tidak sertai kempen ketenteraan diterajui Arab Saudi
KUALA LUMPUR - Latihan ketenteraan yang disertai 20 negara termasuk
Malaysia di utara Arab Saudi, tidak ada kaitan langsung dengan kempen
ketenteraan terhadap Yemen, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein.
Dalam satu kenyataan hari ini, Hishammuddin berkata latihan "Thunder of
the North" yang diadakan mulai hari ini hingga 4 Mac, merupakan latihan
ketenteraan pelbagai negara yang telah wujud lebih 15 tahun lalu, dan
diadakan sebelum operasi ketenteraan di Yemen lagi.
Katanya latihan di kawasan latihan Hafar Al Batin di wilayah utara Arab
Saudi itu merangkumi pasukan darat, laut dan udara.
"Saya ingin mengesahkan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak
menyertai sebarang kempen ketenteraan yang diterajui oleh Arab Saudi
dalam menentang pemberontakan di Yemen seperti mana yang
digembar-gemburkan dalam media sosial.
"Saya konsisten menyatakan bahawa Malaysia menyokong sebarang usaha
membanteras kegiatan militan, namun ATM tidak terlibat dengan sebarang
operasi ketenteraan di dalam Yemen," katanya.
Katanya ATM dijemput pihak Arab Saudi untuk menyertai latihan itu dan
mengambil kesempatan yang ada bagi menimba pengalaman operasi
ketenteraan dalam suasana yang amat berlainan di Malaysia.
Beliau berkata latihan di kawasan teluk ini adalah yang pertama kali
disertai oleh ATM dan ia memberi manfaat yang besar serta pengalaman
yang amat berguna kepada ATM pada masa depan.
"Selain itu, latihan ini juga memberi peluang kepada ATM untuk lebih
memahami prosedur-prosedur berkaitan bantuan kemanusiaan dan bencana
yang mungkin dilaksanakan kelak khususnya dalam operasi menyelamat serta
membawa keluar warga Malaysia jika berlaku konflik di rantau tersebut,"
katanya.
Hishammuddin berkata dalam usaha menjadikan ATM sebagai sebuah angkatan
yang kredibel di rantau ini, ATM akan sentiasa mengambil kesempatan dan
peluang untuk melatih warganya dalam pelbagai situasi serta suasana
serta membolehkan ATM beroperasi dalam pelbagai rupa bumi.
"Latihan ketenteraan yang dinamakan Thunder of the North ini diadakan
di utara Arab Saudi, sementara Yemen terletak di bahagian selatan
sempadan Arab Saudi," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment