Najib sertai sidang kemuncak AS-Asean dihoskan Obama
CALIFORNIA - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan
pemimpin Asia Tenggara menyertai Presiden Barack Obama di Sidang
Kemuncak AS-Asean selama dua hari yang sedang berlangsung di sini.
Tumpuan pemimpin pada perhimpunan Isnin ini (Selasa di Malaysia) adalah
bagi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Asean menerusi inovasi dan
keusahawanan.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Najib
semasa perbincangan mengenai ekonomi.
Malaysia, selaku Pengerusi Asean 2015, menjadi tuan rumah kepada Sidang
Kemuncak Asean-AS Ketiga di Kuala Lumpur, November tahun lepas.
Semasa di Kuala Lumpur, Presiden Obama telah menjemput pemimpin dari 10
negara anggota Asean itu untuk mengadakan pertemuan di bumi Amerika
Syarikat buat kali pertama.
Asean terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Obama dan pemimpin Asean dijadualkan menghadiri majlis makan malam di
Sunnylands, sebuah estet seluas 90 hektar di Rancho Mirage yang
merupakan lokasi sidang kemuncak itu, di mana mereka akan meneruskan
perbincangan.
Mereka dijangka membincangkan secara mendalam isu berkaitan politik dan
keselamatan termasuk memerangi keganasan, maritim dan isu rentas negara
pada Selasa (Rabu di Malaysia). - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment