Penganalisis: Najib kekal PM hingga PRU14
SHAH ALAM – Penganalisis politik meramalkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak akan kekal memegang jawatan nombor satu itu paling
tidak sehingga Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak
(Unimas),Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, penyertaan bekas Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Gabungan Ketua Cawangan Malaysia
(GKCM) tidak akan memberi sebarang perubahan kepada usaha mereka untuk
menggesa Najib meletakkan jawatan.
“Saya tidak fikir itu (Tun M dilantik sebagai Penaung GKCM) akan member
kesan besar. Tun M telah melancarkan pelbagai pendekatan termasuk
melalui blog dan ucapan-ucapan di pelbagai platform mendesak Najib
meletakkan jawatan tapi beliau masih gagal.
“Melihat daripada semua segi, Najib akan terus kekal sebagai PM
sekurang-kurangnya sehingga menjelang PRU akan datang,” katanya kepada
Sinar Online.
Minggu lalu, Tun Mahathir menerima pelawaan GKCM untuk menjadikannya
sebagai penaung kepada gerakan yang lantang mengkritik Najib sejak tahun
lalu.
Mengulas lanjut, Dr Jeniri berkata, apa yang akan berlaku selepas PRU14
nanti banyak bergantung pada prestasi Umno khususnya sama ada parti itu
mampu mengekalkan kerusi atau kehilangan lebih banyak kerusi.
Sementara, Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang,
Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM),
Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata buat masa sekarang, usaha
GKCM dengan melibatkan Tun Mahathir dalam menggesa Najib meletakkan
jawatan agak sukar membuahkan hasil.
“GKCM perlukan penglibatan semua ahli dan pemimpin Umno. Bukan sekadar Tun Mahathir.
“Buat masa sekarang agak sukar untuk mereka menurunkan Najib walaupun
dengan Tun Mahathir. Melainkan sekiranya pemimpin-pemimpin dalam
kerajaan juga terlibat,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment