‘Sudah banyak petanda rakyat marah’
MUAR - Rakyat akan terus terbeban dan menderita jika kemelut dan masalah politik di negara ini tidak ditangani dengan segera.
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, krisis
politik dalaman pada masa kini menjadi pokok utama menyumbang kepada
masalah negara.
“Politik jika dilihat pada hari ini semakin sesak. Ia berpunca daripada
iklim politik yang tidak terurus. Ini boleh jadi penyumbang perpecahan
negara sekali gus kepada rakyat.
“Masalah dalaman politik ini antaranya masalah korupsi dan kejatuhan
ekonomi di mana rakyat bawahan menjadi mangsa terpaksa menanggung
beban,” katanya.
Muhyiddin bimbang jika masalah itu tidak dipulihkan boleh mencetuskan kemarahan rakyat.
“Malah, kalau dilihat pada hari ini pun, sudah banyak petanda menunjukkan rakyat marah,” katanya.
Beliau berkata, kemelut politik itu juga telah menyumbang kepada
masalah negara di mana Malaysia mulai menjadi perhatian masyarakat luar
akibat konflik yang berlaku.
“Status negara pun terancam kerana beberapa isu yang melibatkan pemimpin sendiri.
“Negara sekarang sudah tidak kukuh di mata dunia. Ini semua memberi
kesan kepada rakyat.
Negara terkenal dengan isu-isu seperti ini, maka
rakyat juga berhadapan kesukaran, terutama jika melibatkan perniagaan
dan pelaburan,” katanya ketika berucap pada Majlis
Penyampaian Bantuan Sumbangan Kebajikan, Parlimen Pagoh, di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, ekonomi negara kini terjejas kerana masalah kepercayaan pelabur luar kepada negara.
“Dengan isu korupsi pada masa kini, bagaimana pelabur luar boleh
percaya kepada kita? Apabila tiada pelabur, ekonomi akan merosot.
“Hari ini saya boleh katakan jika pelabur mahu melabur dalam negara
pun, terpaksa fikir banyak kali kerana masalah yang timbul ini,”
katanya.
Muhyiddin juga bimbang jika kemelut politik dan negara tidak
diselesaikan dengan segera, rakyat akan berhadapan dengan cabaran yang
lebih sukar pada masa akan datang.
0 orang berkata:
Post a Comment