Bendera BN terbalik isyarat ‘kalih’ rakyat Kedah
SHAH ALAM - Bekas Wanita Umno Langkawi, Ainina Saadudin mendakwa insiden bendera BN yang dipasang secara terbalik di Kedah sebagai isyarat ‘kalih’ namun ia bukan bermaksud rakyat negeri itu menentang BN kerana menyokong parti lain.
Menurutnya, perkara itu menjadi saksi kepada pemimpin BN hari ini
bahawa prinsip ‘cash is king’ (duit adalah raja) boleh dicabar di negeri
tersebut.
“Hari ini seluruh Kedah
memasang bendera BN terbalik kerana mereka mahu menumbangkan Najib
(Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak). Seluruh Kedah mahu Najib berhenti daripada terus memusnahkan nilai dan sistem kemanusiaan bukan sahaja di Malaysia tetapi dunia,” katanya dalam kemas kini status di Facebook, hari ini.
Setelah seminggu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengangkat sumpah
sebagai Menteri Besar Kedah, situasi politik Umno dan BN kini berhadapan
pula dengan protes ahli-ahlinya yang didakwa sengaja menggantung
bendera BN dalam keadaan terbalik di sepanjang jalan utama.
Difahamkan, tindakan protes itu dibuat sebagai tanda penolakan akar
umbi terhadap pelantikan Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar baharu.
Dalam pada itu, Ainina menegaskan bahawa beliau bukan penyokong kepada
bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu meskipun
dilihat seperti membelanya.
“Malah Datuk Seri Mukhriz pernah menegur cara saya berucap dalam ucapan
penangguhan di mesyuarat agung perwakilan Wanita Umno Bahagian Langkawi
8 Ogos 2015 lalu.
"Saya tidak memerlukan restu Datuk Seri Mukhriz untuk menegur Presiden
kerana saya bukan pemimpin Umno. Saya rakyat marhaen. Rakyat marhaen
sudah hilang sabar dengan Presiden Umno.
“Jadi, saya tidak perlu ‘consent’ dari Datuk Seri Mukhriz untuk
bercakap benar bagi didengari Presiden Umno. Saya hanya bercakap bagi
mewakili rakyat marhaen lain seperti saya,” katanya.
Tambahnya, tidak perlu menjadi pemimpin Umno untuk merasai denyut nadi
rakyat sebaliknya menjadi rakyat biasa menjadikan dirinya lebih mulia
daripada pemimpin-pemimpin yang hanyut dalam buaian kuasa dan mabuk
dalam kilauan material.
0 orang berkata:
Post a Comment